Wednesday, 13 February 2013

Puisi Buat Adam Syukri

Assalammualaikum,

Semua telah maklum yang adik Adam Syukri telah kembali ke rahmatullah pada 7 Februari 2013. Kisah bayi yang comel ini mendapat perhatian daripada seluruh rakyat Malaysia bila ibu bapanya berkongsi kisah bayi mereka di Facebook. Ramai rakyat Malaysia yang prihatin dan sentiasa memberi sokongan dan semangat kepada keluarga ini untuk berjuang demi kesihatan Adam Syukri.

Ahmad Adam Syukri telah dilahirkan pada 4 Mac 2012 dan telah disahkan oleh pakar perubatan mengalami kerosakan pada saraf otak (brain damaged).

Aku juga selalu mengikuti kisah tentang adik Adam dan selalu juga memberi sokongan dan semangat di Facebook mereka. Aku kagum dengan ketabahan ibu bapa muda ini kerana ibu  bapa manalah yang tidak mahu anak mereka sihat walafiat seperti anak-anak lain? Kadang-kadang menitis juga airmata ibu ini bila mengenangkan perkara ni. Berat mata memandang, berat lagi mata yang memikul. Aku harap ibu bapa Adam Syukri akan terus tabah menghadapi segala ujian dari Allah ini. Yang pasti Adam Syukri telah dijanjikan syurga untuknya di sana.

Al-fatihah buat Arwah.


Semasa aku termenung dan terkenangkan tentang perkara ini, tercetus ilham untuk menulis puisi tentang Arwah Adam. Puisi ini aku karang sambil menitiskan air mata walaupun ringkas tetapi perasaan seorang ibu pasti akan tersentuh.



Puisi Buat Adam Syukri 

Anakku Adam Syukri
Kau hadir bagaikan cahaya
Kau umpama bintang yang berkelipan
Kau harum bak bunga yang sedang mekar
Kau sesuci salju yang berguguran

Ibu belai rambut halusmu
ibu sentuh pipi merahmu
ibu usap jari-jemarimu
ibu tatap wajah comelmu
ibu peluk tubuhmu yang kecil

Ibu relakan anakku
Tidurlah...
Tidurlah dengan tenang
Tidurlah dengan lena
Tidurlah dengan mimpi yang paling indah

Allah lebih sayang padamu
Ibu redha....
doa ibu sentiasa bersamamu anakku

Ibu akan merinduimu....

No comments:

Post a Comment