Thursday 14 February 2013

Cerpen : Janji Malik



“Mama!!! Jangan tinggalkan Aina. Aina tak nak tinggal dengan Mak Su. Aina nak tinggal dengan Mama” tersedu-sedan Aina menangis bila ibunya Azzah meninggalkannya tanpa menoleh ke belakang.

“Mama..…Mama jangan tinggalkan Aina..Mamaaaa!!” Malihah adik kepada Azzah hanya mampu memeluk dan menenangkan Aina agar tidak berlari mendapatkan ibunya yang sudah hilang dari pandangan.

Azzah dengan perasaan hiba dan sayu terpaksa meninggalkan Aina demi untuk memenuhi kehendak suaminya Malik yang selalu berprasangka buruk terhadap Aina. Pada pandangan Malik Aina adalah seorang anak yang membawa malang dalam kehidupannya.

Azzah terkenang peristiwa di mana pada hari dia di sahkan mengandung oleh Doktor Sofea, Malik sedikit pun tidak menunjukkan riak gembira malah mendengus dan merungut. Memang Malik pernah menyatakan pada Azzah bahawa dia tidak bersedia lagi untuk menerima kehadiran cahayamata dalam kehidupannya. Pada tanggapan Malik kehadiran anak ini nanti akan meregangkan hubungannya dengan Azzah dan akan menyekat segala aktiviti harian yang sering dilakukan bersama Azzah dan rakan-rakannya. Sudah pasti Azzah akan sibuk menguruskan anak-anak dan akan mengabaikan suaminya sendiri. Malik teringat akan isteri Sofian yang jadi tidak terurus bila sibuk menguruskan anak-anak yang masih kecil. Manakan dia mahu melihat Azzah menjadi seperti itu. Dia mahu Azzah sentiasa cantik dan menawan.

Tetapi Azzah tetap berkeras untuk memiliki cahayamata setelah 5 tahun Azzah bersabar dengan karenah Malik. Azzah terpaksa mengamal pil perancang keluarga untuk mengelakkan diri daripada hamil. Setelah memujuk Malik dengan apa cara sekali pun, Azzah masih tidak berjaya untuk melembutkan hati suaminya. Sehinggalah suatu hari dia mengambil keputusan tanpa pengetahuan Malik dengan berhenti mengambil pil perancang keluarga. Hasilnya Azzah disahkan mengandung dan Malik naik berang di atas kecuaian Azzah. Mulanya Malik berkeras agar Azzah menggugurkan kandungan tersebut tetapi Azzah tetap dengan pendiriannya.

“Ingat Azzah, jika ada sesuatu berlaku selepas kelahiran anak ini nanti kau tahulah apa akibatnya” terngiang-ngiang ugutan dari suaminya yang bengis itu.

Ternyata ugutan Malik itu benar-benar terjadi. Aina telah menjadi mangsa Malik yang tidak pernah menerima takdir Allah dengan terbuka. Aina terpaksa ditinggalkan di kampung bersama Malihah agar kebajikannya lebih terjamin. Azzah tak sanggup melihat Aina menderita fizikal dan mental kerana sering didera oleh Malik. Anak yang baru berusia 4 tahun itu memang petah berkata-kata. Matanya mewarisi mata ayahnya, hidungnya semancung hidung ibunya. Bersih wajahnya, dengan rambut ikal mayang.

“Sampai hati abang buang anak sendiri! Apa salah Aina pada abang? Bukankah anak itu penyeri rumahtangga bang?” berguguran air mata Azzah bila Malik mencadangkan agar Aina dicarikan ibu angkat untuk menjaga Aina sehingga dia dewasa.

“Esok kalau kita dah tua…anak-anak lah yang akan menjaga kita bang..anak-anak yang akan mendoakan kita. Apa guna harta bertimbun jika kita tak ada anak untuk mendoakan kita kalau kita mati esok.”

“Ahhh!! Sejak bila pula kau tau pasal agama ni! Kau jangan lupa makan minum kau aku tanggung! Dah lahir anak ni makin membebankan aku pulak lagi!”

“Itukan tanggungjawab seorang suami, menanggung keluarga… Kenapa abang tak redha dengan takdir Allah” Azzah terasa sebal dengan perangai suaminya.

“Ohh semenjak kau bergaul dengan Ustazah yang baru pindah tu kau dah tau nak bagi ceramah agama kat aku pulak. Kau tahu tak semenjak kau lahirkan budak sial ni , bisnes aku dah banyak rugi kau tau tak? Banyak pelanggan aku dah lari cari supplier lain. Kau ingat senang ke aku nak kumpul duit selama ni??”

“Ya Allah bang..itukan rezeki masing-masing. Cara abang meniaga dengan menipu pelanggan macam tu memang tak lama bisnes abang. Insaflah bang…”

Malik adalah seorang pewaris perniagaan milik arwah ayahnya dan dia memiliki beberapa cawangan kedai membekal bahan-bahan binaan untuk kontraktor binaan. Tetapi dalam perniagaan Malik bukanlah seorang yang jujur. Barang-barang yang dijual adalah dari bermutu rendah tetapi telah dijual dengan harga yang agak mahal, membuatkan pelanggan-pelanggannya lari mencari pembekal lain. Mujur dia masih ada beberapa kawan yang bekerja dalam bidang pembinaan yang masih menggunakan khidmat Malik, jika tidak alamatnya perniagaan Malik tidak akan kemana.

“Kau jangan nak ajar aku ye! Aku cakap kau pergi hantar budak ni pergi mana-mana yang kau suka..kalau tidak mati aku kerjakan budak ni nanti”

Aina yang sedang lena tidur di dalam bilik tersedar apabila mendengar ibu dan ayahnya bertengkar. Dia cepat mendapatkan ibunya yang sedang menangis di sofa ruang tamu.

“Mama..mama…nangis ye?” tegur Aina sambil mengusap air mata ibunya.

“Taklah Aina…Mama sakit mata….tengok ni merahkan mata mama?” Azzah mengusap kepala Aina sambil tersenyum.

“Haah la Mama..nanti mama pergi jumpa doktor ya” bersungguh-sungguh anak itu meyakinkan ibunya.

“Ok..Aina pergi tidur dulu ye..esok Mama nak bawa Aina jalan-jalan.”

“Baik Mama..selamat malam. Selamat malam Papa” ujar Aina dengan perlahan bila dia sedar Malik sedang memerhatikannya dengan muka yang bengis.

Sayu hati Azzah bila melihat tubuh kecil Aina yang sering dipukul oleh Malik. Pantang ada kesilapan kecil, Aina akan menjadi mangsa untuk Malik melepaskan geram. Hancur hatinya sebagai seorang ibu jika tidak dapat mempertahankan anaknya dari jadi mangsa suaminya sendiri.

Azzah teringatkan Malihah di kampung yang tinggal di rumah pusaka mereka bersama suaminya. Sudah 10 tahun mereka berumahtangga tapi masih belum dikurniakan cahayamata. Ada baiknya buat sementara Azzah tinggalkan Aina bawah jagaan Malihah daripada menyerahkan Aina pada orang asing.

“Mal…akak nak minta tolong, tolong jagakan Aina boleh tak untuk sementara waktu?”

“Boleh kak. Sampai hati abang Malik buat Aina macam ni kak. Anak ni tak berdosa kak, masih suci lagi kenapa sampai macam ni dia buat Aina” Malihah amat kesal dengan perlakuan abang iparnya.

“Apa nak buat Mal..nasib akak memang dah macam ni. Mal jaga Aina baik-baik ya. Anggaplah Aina macam anak sendiri. Perbelanjaan nanti akak bagi. Senang nanti akak balik jenguk Aina.” Remuk hati Azzah dengan kata-katanya sendiri. Airmatanya tak tertahan lagi sehingga mengalir laju ke pipi.

Malihah memeluk Azzah untuk menenangkan kakaknya.

“Sabar kak. Ini semua dugaan dari Allah. Saya akan jaga Aina macam anak sendiri. Akak jangan risau. Kalau akak rindu dekat Aina, akak baliklah bila-bila masa.”

“Terima kasih Mal. Allah je yang tahu perasaan akak sekarang.”

Azzah berlalu pergi setelah mengucapkan selamat tinggal dengan Malihah dan Aina yang tidak mahu melepaskan Ibunya. Hatinya sungguh sedih. Perasaannya bercampur-baur. Betulkah apa yang dia lakukan. Apakah dia seorang ibu yang baik. Beginikah nasib anak yang malang ini? Azzah menyeka air matanya lalu masuk ke dalam kereta yang sedang menantinya.

“Ahhhh!!!” benci sungguh Azzah bila mengenangkan perlakuan suaminya seperti manusia yang tiada perasaan. Tetapi di hati kecilnya sentiasa mendoakan agar suaminya berubah dan dapat menerima semua yang berlaku. Kereta BMW yang di pandu oleh Pak Salleh memecut laju menuju ke Kuala Lumpur. Azzah tersandar di kerusi penumpang dengan air mata yang berlinangan. Sudah tentu Malik menunggu kedatangan Azzah dengan gembira sebab Aina sudah tiada lagi di rumah banglo 2 tingkat hasil titik peluh Malik selama ini.

“Azzah…tak sihat ke ni?” tegur Ustazah Maria bila melihat Azzah asyik termenung semasa dalam kelas fardhu ain yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk Taman Sentosa. Selepas kelas Ustazah Maria rasa adalah masa yang sesuai untuk berbual dengan Azzah yang dianggapnya seperti saudara sendiri semenjak dia tahu akan permasalahan yang dialami oleh Azzah.

“Ustazah… masalah saya ni semakin rumit. Suami tak izinkan saya jaga anak saya sendiri. Dia benci dengan anaknya sendiri…dia tak suka darah daging sendiri” rintih Azzah.
“Sabarlah Azzah. Mungkin ada hikmah di atas apa yang berlaku. Sentiasa doakan suami agar dibuka pintu hatinya untuk menerima segala yang berlaku. Jangan putus asa atas dugaan yang Allah beri.”

“Saya sentiasa doakan Malik agar dia berubah. Saya mahukan keluarga yang sempurna. Apa guna wang ringgit jika hati saya kosong Ustazah.” Airmata Azzah mula berguguran.
“Azzah..sabar ya.. Jangan sesekali buat tindakan melulu. Kalau boleh ajak Malik ke majlis-majlis ilmu atau hadiahkan dia buku tentang tanggungjawab sebagai seorang suami.” Cadang Ustazah Maria.

“Insya Allah Ustazah..saya akan cuba.”

Balik dari kelas Fardhu Ain, Azzah teringat akan kata-kata Ustazah Maria. Dia terus memandu ke kedai buku yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah mereka. Jam menunjukkan pukul 5.00 petang ketika Azzah sampai di ruang tempat letak kereta. Mujur ada ruang parkir yang masih kosong. Azzah perlu bergegas kerana Malik akan balik dari pejabat pukul 6.30 petang. Azzah risau kerana jalan akan mula sesak kerana pekerja pejabat akan mula keluar pukul 5.00 petang.

Azzah menuju ke bahagian buku-buku agama. Di teliti satu persatu tajuk-tajuk buku yang dipamerkan. Mata Azzah terpaut pada satu tajuk “Hadirnya Permata Hatiku” . Azzah segera mengambil buku tersebut dan membuat bayaran di kaunter. Dia juga meminta agar buku tersebut dibalut dengan kertas hadiah yang menarik. Hati Azzah berbunga-bunga bila keluar daripada kedai buku tersebut.

Bila menuju ke tempat letak kereta Azzah memandang ke arah jalan raya yang semakin sibuk. Jam tangannya sudah menunjukkan pukul 5.45 petang.

“Ya Allah..sempat ke aku sampai rumah ni? Berkatilah perjalananku ini Ya Allah” Hati Azzah berdebar-debar dan tidak keruan.

Azzah memandu keretanya dalam keadaan tergesa-gesa. Tiba di persimpangan lampu Isyarat lampu merah telah menyala. Azzah berhenti dan hatinya tidak sabar menantikan lampu hijau menyala. Bila lampu hijau menyala, Azzah tanpa berlengah lagi menekan minyak tanpa menoleh ke kiri dan kanan kerana beranggapan semua kereta di persimpangan tersebut mengikuti peraturan jalan raya. Tanpa di sangka-sangka sebuah kereta dari arah kanan persimpangan jalan yang dipandu dengan laju telah merempuh kereta Azzah dengan kuat. Kereta Honda Civic bewarna putih tersebut hilang kawalan lalu merempuh kereta Azzah yang baru saja melepasi lampu hijau. Bahagian pemandu remuk teruk dan kereta Azzah telah terbalik di tengah persimpangan tersebut.

Azzah terasa seluruh badannya sakit dan matanya semakin kabur.

“Aina…abang…Ya Allah” Perkataan yang sempat keluar dari mulut Azzah. Pandangannya gelap tiba-tiba!

Malik bergegas ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur bila dia menerima panggilan daripada pihak polis berkenaan kejadian tersebut. Hatinya berdebar-debar dan merasa sayu bila mengenangkan layanannya terhadap Azzah beberapa hari yang lalu.

“Doktor! Doktor! Bagaimana keadaan isteri saya?” Malik bergegas mendapatkan doktor yang merawat isterinya.

“Saya doktor Saiful. Doktor yang bertanggungjawab merawat isteri encik..Kami telah buat yang terbaik untuk merawat isteri encik, buat masa ini isteri encik berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dia telah mengalami kecedaraan teruk pada bahagian badannya. Kami akan buat pemeriksaan susulan dan lebih teliti untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi. Kami risau berlaku gegaran otak kerana berlaku hentakan yang kuat semasa kemalangan tadi.” Ujar Doktor Saiful dengan jelas.

“Doktor, tolonglah ikhtiarkan apa-apa saja untuk selamatkan isteri saya. Tolonglah doktor” Lemah suara Malik meminta ikhsan daripada doctor Saiful.

“Insya Allah. Sama-sama kita berdoa pada Allah agar semuanya berjalan dengan lancar. Nanti pihak hospital akan maklumkan segala perkembangan. Kami akan tempatkan isteri encik di Wad ICU untuk perhatian yang rapi.” Sambung Doktor Saiful.

“Terima Kasih Doktor.” Malik terduduk di kerusi di luar wad kecemasan. Hatinya terasa amat sedih. Azzah merupakan satu-satunya wanita yang dia sayang. Azzah adalah segala-galanya bagi Malik sehinggakan dia membuang anaknya sendiri supaya kasih Azzah padanya tidak berbelah bagi.

“Sama-sama kita berdoa pada Allah..” terngiang-ngiang kata-akat dari Doktor Saiful sebentar tadi.

“Ya Allah..sudah lama aku meninggalkan mu Ya Allah. Bagaimana aku hendak berdoa kepada mu di kala aku dalam kesulitan begini jika aku melupakakan kau di waktu aku sedang gembira dengan kesenangan dunia. Adakah doaku akan didengar oleh mu Ya Allah?” hati kecil Malik bersuara.

Malik bangkit dan menuju ke Wad ICU yang terletak di aras 2 . Terasa berat kakinya untuk melangkah ke dalam wad tersebut. Dia tidak mampu untuk melihat keadaan Azzah ketika itu. Tetapi digagahkan juga langkahnya agar dia dapat menatap wajah isterinya itu.
Bila Malik melihat keadaan Azzah yang dipenuhi oleh wayar-wayar dan tiub terasa sangat sebak hatinya.

“Ya Allah, apa salah isteriku…kenapa dia diseksa begini. Aku yang banyak berdosa kepadamu Ya Allah.” Keluh hati Malik.

Tiba-tiba hati Malik menjadi marah. Dia lupa akan musibah yang dihadapinya.

“Ini mesti sebabkan anak sial tu!” bentak hati Malik.

“Sebab kau lah isteri aku jadi begini! Kau memang bawa malang kau tau tak!!” hati Malik meronta-ronta. Nasib baik anak itu tiada di depan matanya. Kalau tidak memang akan menjadi mangsa Malik melepaskan geram. Air mata Malik kembali berguguran.

“Azzah…jangan tinggalkan abang Azzah…” rayu hati kecil Malik.

Setelah puas menatap keadaan isterinya, Malik melangkah keluar dari Wad tersebut. Dia tidak tahu kemana hendak dituju. Dia berjalan sambil kepalanya tertunduk. Tiba-tiba Malik terlanggar seseorang yang berjalan laju melintasinya. Seorang lelaki tua dalam lingkungan 60-an jatuh terduduk di depan Malik akibat kejadian tersebut.

“Maaf Pak Cik…saya tak sengaja.” Sambil menghulurkan tangan agar orang tua tersebut dapat bangun dengan selesa.

“Pak Cik yang patut minta maaf sebab pakcik berjalan tanpa menoleh kiri kanan.” Jawabnya ringkas sambil membetulkan baju melayu dan serban yang dililit di lehernya.

“Pak cik tak ada apa-apa ke?” Ujar Malik lagi dengan penuh rasa bersalah.

“Pak Cik tak ada apa-apa..biasalah orang tua bukan kuat sangat dah nak berdiri tegap.”

“Maaf Pak Cik, saya Malik.” Malik menghulurkan tangan tanda perkenalan.

“Pak Cik Idrus.” Balasnya sambilnya tersenyum.

“Pak Cik nak kemana tergesa-gesa pak cik. Nak melawat orang sakit ke?”

“Pak Cik nak ke surau. Waktu Maghrib dah nak masuk. Kalau cepat boleh solat jemaah dengan yang lain-lain. Besar pahalanya. Marilah ikut Pak Cik sekali.” Ajak Pak Cik Idrus lembut.

Malik terkedu. Sudah lama dia tidak menunaikan solat. Apa lagi solat berjemaah.

“Hmm…baiklah pak cik.” Malik menjawab dengan teragak-agak.

Sambil berjalan menuju ke surau, Pak Cik Idrus memandang ke muka Malik yang nampak kusut.

“Malik, kamu ada masalah ke? Datang sini siapa yang sakit?”

“Ohh.. isteri saya kemalangan jalan raya petang tadi pakcik. Teruk keadaan dia. Sekarang tengah di rawat kat ICU.” Lemah sahaja jawapan daripada Malik.

“Berdoalah kepada Allah, agar memberikan kita yang terbaik. Kamu ada anak tak Malik?” soal Pak Cik Idrus. Sudah pasti anak itu akan mencari-cari ibunya dalam keadaan yang demikian.

“Anak? Hmm anak? Saya ada anak seorang tetapi anak tersebut membawa malang kepada saya Pakcik. Tengoklah apa jadi dekat isteri saya sekarang!” tiba-tiba muka Malik berubah bila terkenangkan anak kecil tersebut.

“Astaghafirrullahhaladzim…kenapa kamu berburuk sangka pada anak kecil itu Malik. Seorang anak kecil yang dilahirkan di dunia ini suci dari apa-apa dosa. Kita kena percaya pada qada dan qadar Allah. Tiada perkara seperti itu yang Allah jadikan. Kamu kena sedar setiap yang berlaku sekarang mungkin ada hikmahnya. Allah jadikan sesuatu perkara itu bersebab. Cuba muhasabah diri kamu. Apa yang telah kamu lakukan sepanjang kehidupan kamu selama kamu bernafas di bumi Allah ini.”

Malik seperti mendapat tamparan yang paling hebat dalam hidupnya. Ya! Kenapa semua ini berlaku ke atas dirinya. Pasti Tuhan sedang menguji imannya ketika ini. Dia memang sudah terlalu jauh menyimpang dari agama. Solat memang sudah lama ditinggalkan. Apa lagi untuk menghadiri majlis-majlis ilmu seperti yang disarankan oleh Azzah. Sudah beberapa kali Azzah mengajak Malik untuk hadir kelas Fardhu Ain di kawasan kediaman mereka tetapi ditolak mentah-mentah oleh Malik kerana beranggapan semua itu hanya membuang masa dan untuk golongan tua sahaja. Usianya masih muda dan sihat tubuh badan, buat apa dia hendak belajar agama seperti orang tua.

Sampainya di surau dilihat beberapa orang jemaah sudah bersedia untuk menunaikan solat maghrib. Mereka terdiri dari pelawat-pelawat hospital dan pekerja hospital sendiri. Malik segera menuju ke tempat wuduk dan menyucikan dirinya. Terasa sejuk dan nyaman bila air wudhuk tersebut terkena ke mukanya.

Usai wudhuk dia segera menuju ke barisan jemaah yang paling belakang. Itulah kali pertama dia merasakan dirinya terlalu hina di sisi Allah. Hatinya sebak bila mengenangkan dosa-dosa yang telah dilakukan. Hidup tanpa bimbingan orang tua memang telah melalaikannya. Semasa kecil orang tua Malik membimbingnya ke jalan yang benar. Soal agama memang dititik beratkan. Perniagaan yang dijalankan juga adalah secara jujur dan telus. Entah bagaimana bila ibu bapanya sudah meninggal dunia ketika menunaikan Haji beberapa tahun yang lepas, dia seperti hilang arah.

Kawan-kawan merupakan tempat dia mencurahkan isi hatinya. Tetapi Malik telah tersilap memilih rakan. Rakan-rakan telah menghanyutkan Malik dan mengambil kesempatan di atas kekayaannya. Sedikit demi sedikit dia telah melupakan ajaran agama dan menjalankan aktiviti perniagaan dengan taktik kotor kerana telah menjadi hamba duit.

Setelah selesai solat, Malik menadah tangan mengaminkan doa Imam. Air matanya bercucuran. Terasa bebanan berat di kepalanya semakin ringan dan hatinya semakin lapang. Tenang itu memang dirasakannya. Kenapa selama ini dia meninggalkan perintah Allah dan melakukan banyak perkara yang terlarang.

“Malik… Pak Cik nak minta diri dulu ya, Pak Cik nak pergi tengokkan anak Pak Cik yang sedang sakit dekat wad.” Sapa Pak Cik Idrus dengan lembut bila melihat Malik yang masih duduk di tikar sembahyang.

“Oh..silakan Pak Cik. Boleh saya Tanya anak pak cik sakit apa?” Soal Malik.

“Anak pak cik sakit barah. Barah tulang. Doktor sahkan umur dia tak panjang nak. Sekarang dia sedang tenat. Itulah satu-satunya anak pak cik. Tapi Pak Cik redha sebab ini semua datangnya dari Allah. Semua hanya pinjaman semata-mata. Kita Cuma penjaga amanah Allah. Jadi kita jangan lalai dengan amanah Allah. Pak Cik harap semua yang Allah amanahkan selama 25 tahun dia bernafas di bumi Allah ini telah Pak Cik tunaikan.”

“Pak Cik…banyak sangat dosa saya pada isteri dan anak saya…” Malik tidak dapat menahan perasaannya bila mendengar kata-kata Pak Cik Idrus.

“Malik… kamu masih ada masa. Bertaubatlah. Jaga anak dan isteri kamu dengan baik. Pak Cik pergi dulu. Assalammualaikum” Pak Cik Idrus mengakhiri perbualan.

“Waalaikum Salam.”

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.

“Hello..Assalammualaikum. Ni Encik Malik Aidil bin Luqman?” terdengar suara garau dihujung sana.

“Waalaikum Salam. Ya saya. ”

“Saya Sarjan Musa dari Balai Polis Pandan Indah. Berkenaan kemalangan yang melibatkan isteri encik. Barang-barang peribadi milik puan Azzah ada dalam simpanan kami. Sekiranya Encik hendak menuntut barang-barang tersebut boleh datang ke balai untuk urusan tersebut.”

“Baiklah. Nanti saya akan uruskan. Terima kasih” 

“Sama-sama Encik”.

Jam tangannya sudah menunjukkan pukul 8.15 malam. Sebaiknya dia pergi ke Balai Polis terlebih dahulu untuk mengambil barang-barang Azzah.

Sesampainya di Balai Polis, Malik terus menuntut barangan Azzah. Semua urusan berjalan dengan lancar. Barang-barang milik Azzah diserahkan dalam satu beg plastik. Di dalam kereta Malik terus membuka bungkusan plastick tersebut dan memeriksa barang-barang yang ada. Malik tertarik pada satu bungkusan hadiah yang masih berbalut rapi. Di atasnya ada kad kecil yang dilekatkan. Segera Malik membaca kad tersebut.

‘Khas buat Suamiku yang tersayang.’

Pendek sahaja ucapan yang bertulis tangan itu. Memang itu tulisan Azzah kerana huruf-huruf yang dilakarkan memang kemas dan cantik.

Malik tidak sabar untuk membuka balutan hadiah tersebut. Bila balutan hadiah tersebut sudah dibuka di dalamnya terkandung sebuah buku yang bertajuk “Hadirnya Permata Hatiku” hasil tulisan Dr Mek Wok Mahmud dan Sri Zuraihan Mohamad. Di kulit buku tersebut terpampang gambar seorang wanita dengan seorang bayi kecil yang comel. Tersentuh hati Malik bila melihat gambar tersebut. Ada seribu kasih sayang yang di gambarkan pada foto tersebut. Begitulah agaknya kasih sayang Azzah pada anaknya Aina.

Aina! Ya Aina… di mana Aina sekarang? Fikirannya mula bercelaru. Sesungguhnya dia sendiri tidak mengambil tahu tentang Aina. Di mana anak itu sekarang? Siapa yang menjaganya? Dia memang tidak mahu ambil berat tentang semua itu.

“Ya Allah! Apa yang aku telah lakukan?Ahhhhhhhhhh” Malik menjerit dengan sekuat hatinya. Sungguh bodoh tindakannya selama ini.

Malik terus mencari telefon bimbit isterinya dalam bungkusan tadi. Azzah mesti ada menyimpan maklumat tentang orang yang menjaga anaknya. Tapi siapa orang itu? Masakan dia perlu menghubungi semua nombor di senarai telefon bimbit isterinya itu dan menunjukkan kebodohannya sebab dia sendiri tidak tahu tentang anak kandung sendiri?

Dia teringatkan Pak Salleh pemandu peribadinya yang diarahkan untuk menghantar Azzah dan Aina tempoh hari. Segera di dailnya nombor telefon Pak Salleh dan bertanya tentang Aina. Setelah selesai bercakap dengan Pak Salleh hati Malik sedikit tenang dan lapang bila mengetahui yang Aina dijaga adik iparnya sendiri di kampung.

“Malihah mesti tidak tahu kakaknya telah ditimpa kecelakaan…dan Aina…mesti dia rindukan mamanya” bisik hati Malik.

Malik segera mencari nombor telefon Malihah dan terus menekan butang dail.

“Assalammualaikum, Malihah ke?” Tanya Malik ragu-ragu.

“Waalaikum salam. Ye saya.” Malihah sedikit kehairanan kerana Abang iparnya itu tidak pernah menghubunginya sebelum ini, tetapi Azzah ada memberi nombor telefon Malik jika ada hal kecemasan.

“Mal, abang Malik ni….errr …Kak Azzah kemalangan” Malik tidak dapat meneruskan kata-katanya.

“Ya Allah..abang…Kakak kemalangan? kakak macam mana? Kakak macam mana?” Malihah dilanda panik. Azzah satu-satunya keluarga kandung yang dia ada. Dia amat menyayangi kakaknya itu kerana selepas kematian kedua ibu bapa mereka, Azzahlah yang bertanggungjawab menguruskan hal keluarga.

“Mal..Azzah masih belum sedarkan diri lagi. Dia sekarang kat ICU Hospital KL. “

“Abang…esok Mal datang tengok kakak.” Sayu jawapan dari Malihah.

“Baiklah…Mal…mmm….bawa Aina sekali ya” hati Malik tiba-tiba teringatkan anak kecil itu.

“Ya bang, esok Mal datang dengan Abang Syukor dengan Aina sekali. Pagi-pagi esok Mal bertolak.”

Malik berasa sedikit lega bila dapat bercakap dengan Malihah dan hatinya senang sebab esok Aina akan datang. Selama ini dia tidak pernah menatap wajah comel anak itu dengan penuh kasih sayang. Apakah dosa anak itu sehingga dia membuang anaknya sendiri. Dia berjanji dia akan menebus segala kesalahannya selama ini.

Buku pemberian isterinya itu terus ditatap. Azzah memang tidak pernah putus asa selama ini memujuk Malik menerima anak mereka. Dirinya amat bertuah sebab tuhan telah menganugerahkan padanya seorang isteri yang sangat penyabar, penyayang dan tidak kenal putus asa untuk menerima Malik seadanya.

Malik segera memandu kembali ke Hospital kerana dia tidak mahu meninggalkan isterinya sendirian. Dia tahu isterinya dalam keadaan yang kritikal. Doanya tidak putus-putus agar Allah panjangkan usia Azzah. Dia hendak menebus kesalahannya selama ini. Dia akan buktikan pada Azzah yang dia boleh menjadi seorang suami dan ayah yang baik. Di hospital Malik hanya mampu menunggu di ruang pelawat. Keadaan Azzah yang kritikal tidak membenarkan pelawat menunggu pesakit. Malik akhirnya tertidur di ruang menunggu.

“Abang…abang…bangun” kedengaran sayup-sayup panggilan itu dan dia kenal betul akan suara yang memanggilnya itu.

“Abang…Azzah ni” Malik mengusap-ngusap matanya.

“Azzah? Azzah..abang rindukan Azzah. Azzah tak apa-apa?” Malik memandang Azzah yang berdiri di depannya. Muka Azzah begitu berseri dan bersih. Jubah biru muda yang dipakai oleh Azzah dengan tudung bewarna putih itu membuatkan Azzah bertambah cantik. Dia segera memeluk Azzah dengan eratnya.

“Azzah sihat bang. Abang jangan risaukan Azzah, Azzah tak ada apa-apa. Azzah datang ni nak bagitau abang tolong jaga Aina baik-baik ye bang.” Gemersik suara Azzah berkata-kata pada Malik.

“Baiklah sayang. Abang akan jaga Aina seperti Abang jaga Azzah. Tapi janji Azzah jangan tinggalkan abang lagi” rayu Malik sambil memandang mata Azzah.

“Insya Allah bang.”

“Abang Malik..abang Malik” suara tersebut mengejutkannya.

“Azzah..Azzah!” Malik tersedar dari tidurnya lalu memerhati ke sekeliling.

“Azzah mana..Azzah mana!” suara Malik sedikit cemas.

“Abang, ni Malihah ni. Kak Azzah kan masih dalam wad ICU.” Malihah bersuara bila memerhati keadaan abang iparnya yang tidak keruan.

“Mal! Tadi kak Azzah datang sini! Dia cakap dengan abang tadi. Dia dah sedar..dia tak da apa-apa! Dia dah sihat Mal!” gertak Malik.

“Mengucap bang.. Abang bermimpi agaknya bang. Ishtifar banyak-banyak.” Syukor Suami kepada Malihah cuba menenangkan Malik.

“Ya Allah! Aku mimpi ke? Oh Azzah….” Malik meraup wajahnya yang dibasahi peluh.

“Papa…papa….Mama mana?” tiba-tiba terdengar suara anak kecil disebelahnya.

Malik memandang ke wajah anak kecil itu, dengan penuh kekesalan. Di usap kepala Aina dengan perlahan lalu Malik memeluknya.

“Aina…maafkan Papa Aina…Papa sayangkan Aina.” Malik mencium pipi anak itu dengan penuh kasih sayang.

“Mama ada sayang..mama sakit…Nanti kalau mama dah sembuh Aina jumpa Mama ya” pujuk Malik.

“Aina rindu sangat kat Mama.” Ujar Aina manja.

“Papa jangan marah Aina lagi ya. Aina pun sayangkan Papa” sambung anak itu lagi.

Sebak hati Malik mendengar kata-kata Aina. Sesungguhnya kanak-kanak ini tiada perasaan dendam pun terhadapnya. Kenapa aku yang berlaku kejam terhadap darah dagingku sendiri! Hati kecil Malik berbisik.

Setelah beberapa hari di Unit Rawatan Rapi, Azzah telah dipindahkan ke wad persendirian. Keadaan Azzah sudah stabil tetapi masih dalam keadaan koma. Doktor tidak pasti berapa lama Azzah akan berada dalam keadaan tidak sedar. Hanya doa dan semangat yang diperlukan ketika itu.

Setiap hari Aina dan Malik akan datang melawat Azzah di hospital. Aina dan Malik akan berbual-bual dengan Azzah seolah-olah Azzah mendengar segala perbualan mereka. Kadang-kadang terdengar Aina ketawa bila sesekali Malik membuat jenaka. Semuanya untuk memberi semangat kepada Azzah agar terus berjuang dan bangun agar mereka dapat membina keluarga yang bahagia.

Buku yang dihadiahkan oleh Azzah kepadanya sudah habis dibaca dan buku itu menjadi teman setia Malik. Dia sudah faham tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah pada zuriatnya. Terlalu besar amanah yang Allah berikan padanya tetapi dia telah mensia-siakan semua itu. Malik telah berubah sepenuhnya. Dia tidak lagi meninggalkan solat. Sentiasa menjaga semua amalannya dan pekerjaannya. Dia juga menjaga Aina dengan penuh kasih sayang.

Suatu hari Malik menerima panggilan telefon dari pihak hospital bila dia sedang sibuk menguruskan Aina di rumah.

“Encik Malik, Isteri encik dah sedar. Boleh datang segera ke hospital?” lembut suara wanita yang membuat panggilan itu.

“Alhamdulillah! Baiklah! Baiklah! Saya datang segera.”

“Aina! Aina! Mama dah sedar! Aina! Mama dah sedar!” sambil memeluk dan mengangkat Aina dan tergambar kegembiraan yang jelas di wajah kedua-dua mereka.

“Yeahh..Mama dah bangun dari tidur…nanti kita boleh bawa mama jalan-jalan…” jerit Aina keriangan.

Tanpa melengahkan masa, Malik dan Aina menuju ke wad yang menempatkan Azzah. Bila memandang wajah Azzah yang lesu di atas katil dikerumuni oleh doktor dan jururawat tergambar kegembiraan yang tidak dapat dilafazkan.

Azzah memandang wajah-wajah di depannya. Malik dan Aina. Wajah-wajah yang amat dirindui olehnya.

“Abang…Aina!” ujar Azzah lemah dan tidak bermaya.

“Syhh…Azzah..rehat dulu sayang…jangan cakap banyak-banyak nanti penat.” Malik menenangkan Azzah. Dia tahu keadaan Azzah yang lemah sebab sudah hampir sebulan Azzah terlantar tidak sedarkan diri.

“Abang….saya rindukan abang dengan Aina. Aina anak mama!” air mata Azzah mengalir bila melihat anak kecil itu bersama ayahnya. Lega dan tenang jiwanya bila dia rasakan Malik sudah dapat menerima anaknya sendiri. Ini semua telah ditakdirkan. Jika kemalangan ini tidak berlaku sudah pasti Malik akan tetap meminggirkan Aina dari hidupnya. Dia menerima segala ketentuan Allah dan dia redha dengan keadaannya sekarang.

“Azzah…abang janji abang jaga Azzah dengan Aina baik-baik ya..Azzah jangan risau. Azzah rehatlah dulu ya sayang” pujuk Malik sambil mengenggam jari-jemari Azzah dengan lembut.

“Tak boleh bang..Azzah nak cakap dengan Aina…nak cakap dengan abang…nanti tak sempat” sambung Azzah lemah dan tersekat-sekat suaranya.

“Sayang..jangan cakap macam tu..abang ada kat sini tunggu Azzah ya.” Malik berasa tidak sedap hati dengan kata-kata isterinya sebentar tadi.

Malik segera memangku Aina dan mendekatkan anak kecil itu disisi katil. Aina mencium dahi ibunya dengan penuh rindu.

“Mama…mama cepatlah sihat. Aina nak main-main dengan Mama dan Papa. Papa dah baik sekarang. Papa jaga Aina…bagi Aina hadiah…bawa Aina makan-makan. Kalau Mama ada lagi best kan papa…” ujar anak kecil yang comel itu.

Bergenang air mata Azza dan Malik mendengar kata-kata si kecil Aina.

“Aina jaga papa elok-elok ya nak..” perlahan suara Azzah.

“Okay Mama! Aina pun akan jaga Mama juga..Aina kan anak Papa dengan Mama. Aina sayang dua-dua banyakkkkkkk sangat…” sambil mendepakan tangannya besar-besar.

Tersenyum tawar Azzah melihat keletah anak tunggalnya itu.

“Abang..janji dengan Azzah, jaga Aina baik-baik..jaga dengan penuh kasih sayang. Jangan abaikan Aina” suara Azzah tenggelam timbul bila dia berusaha untuk melafazkan semua yang terbuku di hatinya.

“Abang janji Azzah….Abang janji abang akan tebus kesalahan abang selama ni.” Jawab Malik dengan lembut sambil mencium tangan Azzah untuk menenangkannya.

Tiba-tiba nafas Azzah turun naik dengan kuatnya. Malik panik melihat keadaan Azzah yang tiba-tiba berubah. Wajahnya beransur pucat, nafasnya tersekat-sekat.

“Doktor! Nurse! Tolong!” Malik menjerit sekuat hati bila Azzah tidak memberikan respon.

Doktor dan jururawat segera merawat Azzah yang tiba-tiba sesak nafas. Alat pernafasan segera dipasangkan. Namun Azzah tidak memberikan sebarang respon. Jururawat terpaksa menyuruh Malik dan Aina keluar dan menunggu di luar bilik. Berat rasa hati Malik meninggalkan Azzah dalam keadaan seperti itu. Dia belum puas menatap wajah Azzah seketika tadi.

“Ya Allah selamatkan isteri ku Ya Allah” rayu hati Malik.

Setelah 15 minit doktor dan beberapa orang jururawat keluar masuk dari bilik tersebut, doktor Saiful yang merawat Azzah keluar dengan wajah yang hambar.

“Minta maaf Encik Malik. Kami dah cuba sedaya upaya kami.”

Malik terus mendukung Aina dan meluru ke dalam bilik Azzah. Kelihatan sekujur tubuh Azzah kaku di pembaringan. Tiada lagi bunyi mesin-mesin yang kedengaran. Bilik itu terasa begitu sunyi sehinggalah Aina bersuara.

“Papa…Mama tidur balik lah.” Aina merenung wajah ayahnya tanpa mengerti apa yang berlaku di hadapannya.

“Sayang…ya sayang….Mama dah tidur” mengalir deras air mata Malik sambil memeluk Aina. 

Bagaimana dia hendak mengharungi semua ini tanpa isteri yang disayangi di sisi.
Malik menghampiri katil Azzah dan menatap wajah isterinya yang bersih dan berseri seolah-olah sedang tidur. Dia mencium dahi Azzah dan mengusap pipinya.

“Azzah…abang janji…abang akan jaga Aina..Azzah jangan risau….Aina ada abang untuk meneruskan kehidupan ini. Tidurlah sayang…tidurlah. Abang redha.”

No comments:

Post a Comment